mutakhir

Pasar pagi tambah ceria

Oleh Nur Lela Zulkipli

Gombak: Persekitaran suram di Pasar Pagi Selayang Baru di sini bertukar meriah dalam masa 15 minit saja selepas ketibaan Geng Rovers Harian Metro (GRHM) yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung, awal pagi semalam.

GRHM juga tidak menyangka 120 naskhah HM terjual dalam masa 30 minit saja berikutan diserbu peniaga dan juga pengunjung pasar berkenaan.

Orang ramai juga berebut mendapatkan HM dan tidak kurang juga yang hampa kerana tidak berjaya mendapatkan akhbar itu selepas habis dijual.

Bukan itu saja, ada pengunjung yang mencadangkan supaya GRHM melakukan lawatan kerap ke pasar berkenaan supaya mereka boleh mendapatkan HM di awal pagi.

Suasana sama di Taman Seri Gombak apabila kenderaan rasmi GRHM iaitu Nissan Almera yang dibawakan khas oleh Edaran Tan Chong Motor diserbu penduduk bagi mendapatkan cenderahati menarik.

Seorang kakitangan swasta Jalil Ahmad, 30, berkata, walaupun sudah membeli surat khabar Harian Metro pada awal pagi, dia tidak mahu melepaskan peluang untuk berjumpa GRHM.

“Dulu keramahan Rovers Fara membuatkan saya ingin bertemu lagi GRHM. Sekarang, saya masih lagi ingat GRHM,” katanya.

Perjalanan diteruskan di sekitar Taman Melawati bagi menghebahkan kepada pengunjung mengenai Karnival HM Padat pada 6 dan 7 Disember depan serta program Gempak Santai di Taman Tema Air I-City, Shah Alam pada 13 dan 14 Disember.

Mereka yang inginkan tiket masuk percuma ke Gempak Santai perlu memotong 20 kepala keratan akhbar HM mulai 24 November sehingga 7 Disember dan tukarkan di Karnival HM Padat.

Persinggahan seterusnya di Bandar Tampin, Melaka dengan pelbagai hadiah eksklusif GRHM diberikan kepada pemenang bertuah yang menjawab soalan kuiz selain diselangi aktiviti seperti Joget Ke dan Belon Kembong.

Hebahan mengenai HM Mountain Bike GP Cuti-Cuti 1 Malaysia juga diuar-uarkan kepada orang ramai sebelum GRHM bergerak ke lokasi terakhir di tepi Sungai Melaka bagi persediaan menemui pembaca setia HM di Kompleks MSN Asahan sempena acara HM Mountain Bike, hari ini.

Disiarkan pada: November 29, 2014 @ 5:11am
d