mutakhir

Warga Bangladesh dihukum gantung

Seremban: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang warga Bangladesh selepas didapati bersalah membunuh rakan senegara di sebuah ladang kepala sawit di Bahau, Jempol, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh, Abdul Mazid, 52.

Dalam penghakimannya, Zabariah berkata, mahkamah membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan serta hujah kedua-dua pihak dalam memberi keputusan.

Beliau berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes dan tertuduh didapati mempunyai niat menyebabkan kematian.

Mengikut pertuduhan, Abdul didakwa membunuh rakan sekerja di sebuah ladang kelapa sawit di FELDA Bukit Rokan Utara, Bahau, Jempol antara jam 12 tengah hari dan 1.30 petang, pada 20 Oktober 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam N Maniam.

Maniam sebelum itu memohon hukuman diringankan kerana Abdul mempunyai isteri dan dua anak yang perlu disara selain keluarganya yang miskin.

Bagaimanapun, Aznee Salmie memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana dalam kejadian itu pergaduhan bermula dengan kata-kata kesat sebelum berlakunya pembunuhan.

Disiarkan pada: November 29, 2014 @ 5:51am
d