mutakhir

Lelaki dibelasah dipindah ke HSA

Muar: Lelaki yang dibelasah menggunakan cota dan disimbah air panas oleh menantunya dalam kejadian di rumahnya di Lorong Haji Bajuri, Batu 18 1/4 Air Hitam di sini, Rabu lalu, kini dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Superintendan Muhammad Hanif Othman berkata, Mohd Noor Abdullah, 55, terpaksa dipindahkan ke HSA bagi mendapatkan rawatan rapi berikutan kecederaan parah dialaminya.

“Kami difahamkan, mangsa terpaksa dipindahkan ke HSA petang semalam (kelmarin) bagi menjamin keselamatannya berikutan kecederaan dialaminya agak teruk.

“Dia (mangsa) masih dalam keadaan stabil namun pengurusan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) tidak mahu mengambil sebarang risiko dan memindahkannya segera ke HSA,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti suspek dan pemeriksaan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan gerakan memburu masih dijalankan.

Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana suspek berada diminta menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.

“Kami sudah berkongsi maklumat dengan semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini dan meminta kerjasama polis negeri berhampiran bagi mengesan suspek.

“Berikutan itu, kami yakin dapat memburu suspek dalam tempoh terdekat,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang warga emas terpaksa merangkak sejauh kira-kira 20 meter dalam keadaan berlumuran darah di kepala dan badannya melecur untuk mendapatkan bantuan daripada saudaranya selepas dipukul menggunakan cota dan disimbah air panas.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek lingkungan awal 20-an bertindak kejam memukul warga emas itu menggunakan cota dan menyimbah air panas ke tubuhnya selepas dipercayai berang apabila mangsa tidak membeli pelbagai barangan seperti beras dan rokok yang dikirimnya.

Suspek yang tidak bekerja kemudian meninggalkan mangsa berlumuran darah di kepala dan melecur di badan di dalam rumah, sebelum mencuri KIA Citra milik mangsa dan melarikan diri bersama isterinya berusia belasan tahun dan dua anaknya.

Disiarkan pada: November 29, 2014 @ 6:32am
d