mutakhir

Memang berani mati

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Kuala Lumpur: Tidak sayang nyawa dan berani mati. Itu gambaran tabiat buruk segelintir warga kota yang sanggup melintas jalan daripada menggunakan kemudahan disediakan kerajaan seperti jejantas dan lintasan belang.

Perbuatan itu bukan saja membahayakan keselamatan diri mereka, malah pengguna jalan raya lain.

Tinjauan Metro Ahad di beberapa laluan utama di pusat bandar raya mendapati walaupun keadaan jalan antara empat hingga enam lorong itu bergerak lancar atau sibuk, pejalan kaki termasuk wanita dan warga asing lebih gemar menggadaikan nyawa melintas jalan tanpa menghiraukan kenderaan yang dipandu laju.

Sikap tidak bertanggungjawab itu dilakukan tanpa mengira waktu sama ada siang atau malam sedangkan kemudahan disediakan berada berdekatan mereka selain wujud papan tanda larangan melintas.

Lebih menyedihkan apabila individu ‘degil’ itu turut nekad melintas di jalan utama bersaiz lebih besar seperti di Jalan Klang Lama dan Jalan Bangsar yang sekali gus mendatangkan risiko lebih tinggi berlakunya kemalangan maut.

Kakitangan kerajaan, Syed Ahmad Zulkarnain Syed Ali, 34, berkata dia yang menunggang motosikal menuju ke tempat kerjanya nyaris terlanggar seorang wanita berusia 30-an yang secara tiba-tiba melintas jalan dalam keadaan tergesa-gesa berdekatan Plaza Kotaraya, baru-baru ini.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 30, 2014 @ 5:10am
d