mutakhir

25 terima PhD di UMT

Kuala Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) kepada 25 graduan pada Majlis Konvokesyen UMT ke-12, semalam, meningkat 67 peratus berbanding 15 graduan tahun lalu.

Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, peningkatan itu membuktikan komitmen tinggi UMT membangunkan tenaga pengajar lebih berkelayakan pada pada masa depan.

“Faktor utama peningkatan ini ialah ramai pensyarah UMT yang kini memiliki PhD, layak menjadi penyelia kepada calon PhD lain.

“Oleh itu, sasaran kami tahun depan melahirkan 30 graduan PhD.

“Ketika ini pun, kami ada 200 calon sedang mengikuti pengajian berperingka,” katanya selepas Majlis Konvokesyen UMT ke-12 di Dewan Sultan Mizan, di sini, semalam.

Pada majlis itu yang berlangsung dua hari bermula semalam, 2,142 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan PhD.

Daripada jumlah itu, 112 adalah graduan ijazah sarjana, 25 pemegang PhD, 1,886 graduan ijazah sarjana muda manakala selebihnya graduan diploma.

Hadir sama, Pro Canselor UMT Tan Sri Samsudin Osman dan Pengerusi Lembaga Pengarah universiti berkenaan Tan Sri Dr Ahmad Zaharuddin Idrus.

Pada majlis sama, UMT menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Sains kepada Profesor Kehormat Biologi Marin di James Cook University, Queensland, Australia iaitu Prof Terence P Hughes dan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains (Sains Kelestarian) kepada tokoh akademik tempatan Prof Emeritus Dr Mohd Nordin Hasan.

Disiarkan pada: November 30, 2014 @ 5:11am
d