mutakhir

Beli senjata daripada 'Boss'

Oleh Junaidi Ladjana

Kota Kinabalu:Penahanan penyelia hotel bajet membawa kepada penemuan pelbagai senjata api tiruan termasuk pelancar roket disembunyikan di rumah dipercayai stor penyimpanan di Taman BDC Kolombong Inanam, di sini.

Dalam serbuan jam 10.30 malam Khamis lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu menemui 32 kelopak peluru tiruan, satu plastik berisi peluru getah 112,000 butir, bom asap (14), gas hijau (43), satu pelancar dan tujuh peluru roket, tujuh pistol dan tujuh bom tangan.

Semua senjata api tiruan yang dirampas ini bernilai lebih RM45,000 dengan harga pasaran RM1,000 hingga RM1,600 seunit.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat jam 10.30 malam 27 November lalu, polis melakukan serbuan ke atas kenderaan jenis Toyota Prado TZ berwarna perak di tepi jalan di Lido, di sini.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lelaki berusia 30 tahun dan pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek menemui satu laras senjata api tiruan jenis raifal sniper model M40 warna hitam di tempat duduk belakang.

“Hasil soal siasat ke atas suspek mendedahkan masih terdapat beberapa lagi senjata api tiruan disembunyikan di rumahnya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 30, 2014 @ 5:16am
d