mutakhir

Bayar RM40 dapat Myvi

Oleh Nur Saliawati Salberi

Shah Alam: “Siapa yang nak percaya hanya bayar RM40, boleh dapat sebuah Perodua Myvi yang harganya lebih RM40,000, tetapi itulah namanya rezeki,” kata pemenang utama Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MBSA 2014 Werdah Abdul Halim, 63.

Kempen yang bermula dari 1 Julai hingga 30 September 2014 lalu disertai 141,497 pembayar cukai yang juga pemilik harta yang membayar cukai taksiran dan tiada tunggakan.

Menurut Werdah yang juga pesara guru, dia hanya menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa dengan membayar cukai taksiran tanpa mengetahui mengenai kempen berkenaan.

Katanya, setiap tahun dia dan suami akan membayar cukai taksiran untuk dua penggal sekali gus kerana jumlah dua penggal hanya RM40 saja dan tidak menjadi masalah untuk membuat pembayaran.

“Disebabkan saya tidak tahu mengenai kempen ini, jadi saya tidak menaruh sebarang harapan untuk menang jadi apabila dimaklumkan oleh wakil MBSA kelmarin memang tidak percaya.

“Saya ingatkan ada individu tertentu yang cuba pancing saya untuk membeli produk syarikat mereka, tetapi apabila dijelaskan hanya rasa syukur ke hadrat Allah dapat diucapkan,” katanya.

Menurut ibu kepada 12 anak itu, Perodua Myvi yang dimenanginya itu akan dihadiahkan kepada anak ketiganya memandangkan dia tidak lagi dapat memandu kereta selepas menghidap penyakit tulang belakang sejak 11 tahun lalu.

Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Jaafar Atan berkata, Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MBSA 2014 adalah alternatif dalam menggalakkan pemilik harta untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan membayar cukai taksiran.

Sebanyak 66 hadiah termasuk dua buah kereta iaitu Perodua Myvi dan Proton Saga SV dimenangi pembayar cukai. Hadiah lain termasuk motosikal, iPad 4, komputer notebook, kamera serta TV LED 47 inci.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:07am
d