mutakhir

77 hektar habis tenggelam

Oleh Jauhariatul Akmal Johar

Rantau Panjang: Seramai lapan pesawah dari Unit Kampung Luar, Gual Periok, di sini, kerugian berpuluh ribu ringgit apabila tanaman padi seluas 77 hektar rosak ditenggelami banjir, baru-baru ini.

Pesawah mendakwa kejadian itu berlaku di luar jangkaan berikutan pelepasan air dari empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Batu Hampar, Tok Uban selain limpahan air Sungai Golok menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian berganda.

Seorang pesawah, Azli Jaafar, 46, berkata, dia menjangkakan pada musim ini hasil padinya lebih lumayan namun keadaan sebaliknya berlaku apabila lapan hektar padi yang diusahakannya musnah ditenggelami air.

Katanya, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM60,000 apabila tanamannya rosak teruk hanya seminggu sebelum tiba waktu menuai.

“Apabila melihat padi mula menguning, saya berharap proses tuaian dapat dilakukan sebelum tiba musim tengkujuh, namun sebaliknya berlaku apabila sawah dilimpahi air terlebih dulu,” katanya ketika ditemui di sawah miliknya di Kampung Luar, di sini, baru-baru ini.

Seorang lagi pesawah, Sa’ary Ismail, 62, berkata, sepanjang 16 tahun mengusahakan tanaman padi, ini adalah kali ketiga dia menanggung kerugian disebabkan banjir.

Katanya, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM30,000 apabila empat hektar tanaman padi yang diusahakannya ditenggelami air.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:08am
d