mutakhir

Keluar senapang

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuching: Pertengkaran antara dua lelaki yang terbabit dalam kemalangan kecil membabitkan kereta dan lori, merebak kepada pergaduhan apabila pemandu lori itu tiba-tiba melepaskan tembakan menggunakan senapang angin serta melanggar bahagian depan kereta itu dalam kejadian di Jalan Foochow No 1, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, sebuah lori terlanggar cermin sisi kanan sebuah Proton Exora yang dipandu seorang pelajar sebuah kolej swasta berusia 19 tahun bersama kakaknya.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, lori berkenaan terlanggar cermin sisi kereta mangsa ketika cuba memotong dan mengelak kenderaan yang datang dari depan.

Katanya, mangsa memberikan isyarat meminta pemandu lori memberhentikan kenderaannya, tetapi lelaki terbabit enggan.

“Mangsa kemudian menghalang laluan lori, menyebabkan pemandunya terpaksa memberhentikan kenderaan. Kedua-dua lelaki itu turun dari kenderaan masing-masing untuk berbincang.

“Tiba-tiba pemandu lori menumbuk muka mangsa dan terus memandu lori dengan sengaja melanggar depan kereta mangsa. Selepas itu, lelaki itu mengeluarkan senapang angin dan mengacukan senjata itu ke arah kakak mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pemandu lori turut melepaskan tembakan ke udara dan terus melarikan diri meninggalkan lokasi kejadian.

Mangsa yang ketakutan dengan insiden itu segera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Roslan berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia lingkungan 50-an dan dipercayai menggunakan senapang angin untuk menyerang mangsa dan kakaknya.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:10am
d