mutakhir

Tekong, 3 awak-awak ditahan seludup rakan senegara

Lumut: Seorang tekong bot dan tiga awak-awak warga Indonesia ditahan kerana cuba menyeludup masuk 18 rakyat senegara menggunakan bot milik nelayan tempatan melalui kawasan perairan Kuala Sungai Bernam, berhampiran Hutan Melintang, kelmarin.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3 Lumut Kapten Abdul Razak Johan berkata, empat anggotanya yang membuat rondaan, mengesan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan kerana tidak memasang lampu jam 10.40 malam.

Katanya, anggotanya cuba menahan bot itu namun nelayan berkenaan melarikan diri.

“Anggota APMM mengejar bot berkenaan dan berjaya memintasnya.

“Selepas diperiksa, kita menemui 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) terdiri daripada 14 lelaki dan empat wanita Indonesia berusia antara 21 hingga 48 tahun berhimpit-himpit dalam bot berkenaan.

“Kita menahan kesemua mereka bersama tekong dan tiga awak-awak,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, bot berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke perairan Hutan Melintang, dekat Bagan Datoh untuk menghantar PATI berkenaan memasuki negara ini.

Beliau berkata, tekong dan awak-awak terbabit berada di laut sejak lima hari lalu untuk menangkap ikan sambil menunggu PATI yang dihantar menggunakan bot kecil untuk diseludup masuk ke negara ini.

“Mereka menunggu sehingga bot penuh sebelum bergerak ke Malaysia dan mendapat bayaran antara RM350 hingga RM450 bagi setiap PATI,” katanya.

Abdul Razak berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan sama ada terdapat bot tempatan lain yang terbabit dalam kegiatan sama.

Katanya, kesemua PATI akan dibawa ke Depoh Tahanan Jabatan Imigresen di Langkap, Teluk Intan, untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:13am
d