mutakhir

Maut dirempuh kereta

Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Seorang peronda Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) maut dirempuh kereta ketika memberikan bantuan kepada sebuah treler yang rosak di Kilometer 240.7, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa Nordin Md Dingkil, 54, dari Kampung Balik Buluh, Klebang Besar, Melaka meninggal dunia di tempat kejadian parah di kepala dan badan.

Kejadian berlaku apabila Proton Saga dinaiki dua lelaki melanggar belakang kanan treler di lorong kecemasan sebelum hilang kawalan dan berpusing lalu merempuh mangsa dan seorang pemandu trak tunda yang menguruskan treler berkenaan.

Bagaimanapun, pemandu trak tunda A Balakrishnan , 40, terselamat dan hanya cedera di kaki.

Menurut isteri mangsa Aslinda Mahmud, 49, suaminya berkhidmat selama 23 tahun dengan PLUS Ronda dan pernah meluahkan risiko perlu dihadapi, namun menganggap ia cabaran kerja.

“Arwah berdedikasi dalam bekerja dan jarang mengambil cuti sakit dan cuti tahunan kerana terlalu komited terhadap kerja.

“Tiada apa-apa perubahan pada dirinya sebelum kejadian dan saya hanya tahu suami meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital kerana sebelum itu, saudara hanya memberitahu arwah hanya terbabit kemalangan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:13am
d