mutakhir

Perkenal pembelajaran interaktif

Kuala Lumpur: Satu sistem pembelajaran interaktif bakal diperkenalkan dalam sukatan kurikulum pelajaran sekolah rendah di seluruh negara membabitkan bahan penulisan kreatif sebagai rujukan tambahan bagi subjek terpilih.

Perkara itu dicadangkan Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai langkah memperkasa ilmu pengetahuan di kalangan kanak-kanak khasnya yang memerlukan sesuatu bersifat interaktif bagi memudahkan pemahaman dan penguasaan terhadap sesuatu subjek.

“Saya sudah pun berbincang dengan pihak yang berkaitan bagi meneliti perkara dan kertas kerja yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan usaha ini.

“Jika pelajar dapat menerima akses pendidikan yang interaktif, saya percaya mereka boleh mengingati apa yang dipelajari dengan lancar.

“Ini sekali gus dapat meletakkan sistem pendidikan ke tahap yang lebih tinggi di samping mewujudkan lebih ramai penulis buku kanak-kanak yang berbakat,” katanya selepas merasmikan Festival Sastera Kanak-Kanak (FSK) 2014, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan merangkap Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Mary berkata dengan penganjuran bengkel penulisan kreatif buku kanak-kanak, lebih banyak idea kreatif penulis sedia ada mahupun orang awam dapat dikeluarkan untuk menerbitkan rujukan tambahan yang sesuai dan berkesan.

“Selain penulisan, industri buku kanak-kanak tempatan juga harus digalakkan dengan usaha mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan seperti penyuntingan, ilustrasi, penterjemahan dan pemasaran buku.

“Melalui cara ini, kanak-kanak tidak akan bosan dengan fomaliti pembelajaran di dalam kelas malah berpeluang mempelajari perkara lain dalam kaedah yang menarik,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:15am
d