mutakhir

Yim kena bayar Nirmala

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan bekas majikan Nirmala Bonat, Yim Pek Ha dan suaminya, Hii Ik Tiing membayar RM129,147.20 kepada wanita itu sebagai ganti rugi kerana mendera dan mencederakannya, 10 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah S Hassan Badjenid memutuskan demikian selepas mendapati Nirmala, 29, selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan turut memerintahkan kos dibayar kepada plaintif sebanyak RM10,000.

Jumlah itu meliputi ganti rugi am untuk kecederaan di kedua-dua payu daranya dan bahagian belakang, kecederaan dan parut di lengan, kecederaan di kepala, muka termasuk mulut, kecederaan di hidung dan tekanan emosi.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan pembantu rumah yang berasal dari Desa Tuapakas di Kota Kupang, Indonesia itu untuk mendapat ganti rugi bagi perbelanjaan perubatan dan laporan perubatan, perbelanjaan perubatan khas, kehilangan kebolehan mencari pendapatan serta perbelanjaan pengangkutan kerana tidak dibuktikan.

Dalam penghakimannya, Siti Khadijah berkata, akibat kecederaan itu, Nirmala bukan saja menanggung kesakitan tetapi menanggung malu apabila bahagian sulitnya terpaksa dipaparkan kepada jurugambar dan mahkamah yang menjurus kepada penderitaan dan kesengsaraan.

“Sebagai manusia sesiapa saja dapat membayangkan kesakitan yang ditanggung apabila seterika panas diletak pada kedua-dua payu dara. Bahagian belakang Nirmala juga disiram dengan air panas.

“Nirmala menanggung kesakitan setiap kali memakai baju dan colinya. Dia tidak mendapat rawatan, selain daripada memakan panadol saja,” kata Siti Khadijah.

Nirmala bagaimanapun tidak hadir pada prosiding semalam dan hanya diwakili peguam M Kavimani.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:15am
d