mutakhir

Martabat kesenian Islam

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak percaya penganjuran Festival Kesenian & Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya 2014 (PIIACuF 2014) satu usaha tepat bagi menunjukkan kepada dunia keindahan Islam yang sebenar.

Menurutnya, penganjuran edisi kedua PIIACuF 2014 akan menggalak serta memartabatkan kesenian dan kebudayaan Islam kerana kedua-dua elemen itu sesuatu yang digalakkan dalam Islam.

“Islam sepatutnya dikaitkan dengan perkara indah dan kedamaian, tetapi malangnya ada beberapa puak menyalah guna dan mentafsir Islam sehingga wujudnya Islamophobia, keganasan dan kezaliman.

“Ini (Islamophobia) bukan tafsiran Islam sebenar sebaliknya orang yang mengamalkan Islam secara tidak betul. Islam adalah sesuatu agama yang dikaitkan dengan perkara indah dan bermanfaat,” katanya ketika berucap merasmikan PIIACuF 2014, di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Aseh Che Mat.

Najib turut memuji usaha dilakukan PPj untuk menganjurkan festival berkenaan.

Beliau berkata, negara Islam mengganggap Malaysia sebagai kisah kejayaan yang boleh diteladani selain meletakkannya sebagai sebuah negara Islam moden dan progresif serta terkemuka dalam aspek perbankan Islam.

“Saya baru balik dari menyertai Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) ke-10 di Dubai dan forum berkenaan satu inisiatif dipelopori Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:16am
d