mutakhir

Kambing untuk dimenangi

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pelbagai hadiah menarik seperti motosikal Honda EX5, perkakas elektrik dan barangan sukan bernilai lebih RM40,000 bakal dimiliki mereka yang menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia melalui skrin besar di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Program julung kali diadakan dengan tema Sorak Final Darul Makmur itu dijangka dihadiri lebih 5,000 peminat bola sepak tempatan yang tidak berpeluang bersama pasukan Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Mohd Johari Hussin berkata, cabutan bertuah dilakukan pada waktu rehat perlawanan selebihnya selepas perlawanan akhir Piala Malaysia.

Katanya, program bermula dari jam 5 petang itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sukan seperti timbang bola dan menjaringkan gol yang memberi peluang kepada pengunjung merebut hadiah ditawarkan.

Katanya, pihak penganjur turut menyediakan hadiah seekor kambing, telefon bimbit, basikal, televisyen plasma dan hamper bagi memeriahkan program berkenaan.

“Konvoi ‘Road to Final Piala Malaysia’ membabitkan lebih 100 kereta dan bas ke Stadium Bukit Jalil berlepas esok (hari ini) bagi memberikan sokongan kepada pasukan Pahang yang beraksi di pentas akhir Piala Malaysia.

“Mereka yang tidak berpeluang ke Stadium Nasional Bukit Jalil diharap tidak melepaskan peluang turut sama dalam program di Stadium Darul Makmur bermula dari jam 5 petang hingga selesai semua acara,” katanya, di sini, semalam.

Johari berkata, program itu dianjurkan Pejabat Tengku Muda Pahang dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) dan Perbadanan Stadium Darul Makmur bertujuan memeriahkan lagi perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

Beliau berkata, sementara itu, bagi mereka yang berada di Stadium Nasional Bukit Jalil diingatkan supaya sentiasa menjaga disiplin dan tidak melakukan perkara boleh menjejaskan imej negeri dan sukan bola sepak negara.

Katanya, lebih 40,000 penyokong setia Tok Gajah dari seluruh negeri dijangka membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan moral kepada pemain untuk beraksi dengan lebih bersemangat.

“Kegembiraan menyaksikan perlawanan berkenaan tidak seharusnya berakhir dengan kelakuan sumbang dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan hingga mengundang episod hitam yang akan memalukan semua pihak,” katanya.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:18am
d