mutakhir

Cemas 15 minit

Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Lebih 35 rumah di tiga kawasan perumahan di Mergong, di sini, rosak teruk terutama bumbung akibat dibadai puting beliung berskala kecil, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku jam 4.50 petang di Kampung Batin, Taman Mergong Jaya Fasa Satu dan Taman Inang selepas hujan lebat.

Seorang penduduk, Azwar Hafifi Mohd Tajuddin, 37, berkata, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen bersama ibu bapa, isteri dan empat anak apabila terdengar bunyi benda jatuh di atas bumbung.

Katanya, dia menjenguk ke luar kerana hairan dengan bunyi itu yang semakin lama semakin berlarutan sebelum ternampak bumbung rumah jirannya terangkat dibawa angin.

“Saya terdengar jiran di depan rumah melaungkan azan dengan kuat dan pada masa sama anak sulung, Diana Ernisa, 14, berlari keluar rumah dalam keadaan panik kerana mahu menyelamatkan diri.

“Saya menjerit mengarahkan ahli keluarga lain mencari tempat perlindungan dalam rumah sebelum memanggil Diana Ernisa masuk kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batin, di sini.

Katanya, kejadian itu berlaku terlalu pantas menyebabkan mereka sekeluarga tidak sempat melakukan apa-apa melainkan berdoa kepada Allah SWT supaya ribut yang diselangi pusaran angin kuat setinggi 100 meter itu berlalu dengan segera.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 1, 2014 @ 5:20am
d