mutakhir

Tergamam lihat pusaran angin

Alor Setar: Seorang pesawah hanya tergamam melihat pusaran puting beliung bergerak ke Kampung Sungai Baru, Alor Janggus ketika dia sedang berehat di Pusat Rekreasi Gunung Keriang, di sini, kelmarin.

Malek Abd Rahman, 58, berkata, dia baru pulang dari sawah dan berhenti untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.

“Ini kali pertama saya lihat puting beliung di depan mata. Sebelum ini saya hanya melihatnya di televisyen.

“Bagaimanapun, syukur kerana tiada kematian atau kecederaan walaupun saya lihat pusaran angin itu menerbangkan sebahagian zink rumah penduduk,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tinjauan Harian Metro di Kampung Sungai Baru di sini, semalam mendapati anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar bergotong-royong membersihkan kawasan rumah penduduk yang rosak akibat bencana itu.

Pegawai JPAM Kota Setar Leftenan Muda C Sehgar berkata, 32 anggota terbabit bergotong-royong membersih selain memotong dahan pokok tumbang dan meranapkan rumah penduduk.

“Kami juga membantu penduduk mencari barangan peribadi yang berterbangan ke sawah berhampiran. Kami menyediakan dua ambulans dan sebuah lori lima tan untuk operasi bencana ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menyalurkan bantuan segera termasuk sumbangan wang berdasarkan penilaian kerosakan rumah mangsa.

Menurut beliau, lapan keluarga di Kampung Batin, Mergong menerima bantuan wang tunai RM200 hingga RM1,000 manakala Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata pula menyumbang RM300 hingga RM500 mengikut kerosakan rumah.

“Setakat ini, JKM sudah menyalurkan bantuan awal termasuk barangan keperluan harian. Saya harap semua mangsa bersabar kerana bantuan lain juga akan diberi berdasarkan keperluan,” katanya ketika ditemui selepas mengunjungi mangsa bencana berkenaan.

Disiarkan pada: November 2, 2014 @ 7:05am
d