mutakhir

Skuad Muda 1JPJ

Kuala Lumpur: Mulai tahun depan semua persatuan serta kelab permotoran di seluruh negara akan bernaung di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ).

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, melalui penyertaan ratusan kelab permotoran itu, pelbagai program dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkesan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan keahlian untuk tahun depan berjumlah 300,000 orang dan pelbagai program akan dirancang di peringkat negeri dan persekutuan.

“Usaha penubuhan kelab atau persatuan dalam bidang permotoran ini sangat baik malah saya sokong dengan pelbagai aktiviti yang diadakan.

“Hubungan antara ahli sangat akrab dan untuk itu kita mahu satukan ratusan kumpulan ini yang terdapat di seluruh negara di bawah satu bumbung iaitu melalui SM1JPJ dan menerusinya pelbagai aktiviti boleh dirancang,” katanya ditemui selepas majlis pelepasan konvoi Ipoh Mega Teh Tarik Season (TTS) 2014 di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Buloh Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini semalam.

Konvoi dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu mengumpulkan lebih 500 pemilik motosikal kategori skuter dari seluruh negara termasuk Singapura.

Program kali ketiga itu bertujuan mengeratkan ukhuwah antara ahli kelab selain memperkenalkan produk pelancongan menarik di Perak.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, usaha mengumpulkan ramai pemilik motosikal di bawah satu persatuan diharap mengubah persepsi masyarakat yang sering mengaitkan golongan berkenaan sebagai mat rempit.

Disiarkan pada: November 2, 2014 @ 7:12am
d