mutakhir

Perkataan jihad dalam akta

Kuala Lumpur: “Perkataan jihad akan dimasukkan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang diperkukuhkan atau akta mencegah keganasan yang baru,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, langkah itu bagi menjelaskan kepada masyarakat supaya tidak terkeliru dengan gerakan militan yang menyalahgunakan perkataan itu termasuk oleh kumpulan militan Daulah Islamiyah (IS).

Katanya, akta sedia ada hanya bertujuan membanteras kegiatan keganasan sedangkan pihak berkuasa mahu undang-undang pencegahan diwujudkan.

“Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan Kertas Putih untuk memaklumkan kepada rakyat berkaitan pembabitan warga Malaysia dengan militan pada sesi Sidang Dewan Rakyat yang berlangsung ketika ini.

“Cadangan tadi akan terkandung dalam Kertas Putih itu selain syor mewujudkan akta baru dan menurunkan kuasa eksekutif menteri menangkap suspek kepada lima ahli panel yang terdiri daripada pakar undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Jihad vs Militan anjuran Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam.

Sehingga kini sebanyak 41 suspek militan IS ditahan sejak operasi dilancarkan polis baru-baru ini.

Undang-undang lain yang turut digunakan membendung kegiatan militan ialah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pindaan akta sedia ada atau akta baru yang akan dicadangkan bertujuan mencegah kegiatan militan dari awal.

Beliau berkata, pemantauan termasuk melalui media sosial, alat telekomunikasi selain sumber maklumat lain akan dilaksanakan sebagai langkah pencegahan lebih berkesan.

“Usaha membanteras militan mestilah mendapat kerjasama semua pihak termasuk eksekutif, ulama, pertubuhan bukan kerajaan dan individu,” katanya.

Disiarkan pada: November 2, 2014 @ 7:13am
d