mutakhir

Kembara ilmu 250km berbaloi

Bangi: Walaupun perit kerana terpaksa berulang-alik sejauh kira-kira 250 kilometer setiap minggu dari Felda Lepar Hilir, Pahang ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, selama 14 bulan, ia tidak menjadi penghalang kepada pasangan suami isteri ini yang mendapat keputusan cemerlang dalam Majlis Konvokesyen Ke-42 UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak semalam.

Pengurus SME Bank di Jalan Sultan Ismail, Yuszairi Ibrahim, 42, dan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1, Norlizah Mohamad Yatim, 38, juga menganggap ia hadiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-15, 21 November ini.

Pasangan suami isteri itu antara 842 graduan dalam sidang kedua Majlis Konvokesyen UKM yang disampaikan Tunku Panglima Besar Kedah Datuk Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim, semalam.

Yuszairi yang mendapat Sarjana Pentadbiran Kewangan dengan Purata Nilai Gred Terkumpul (PNGK) 3.69 manakala Norlizah yang mengambil jurusan sama memperoleh PNGK 3.61 itu nyata tidak mensia-siakan peluang diberikan majikan masing-masing apabila mendapat keputusan yang cemerlang.

Yuszairi berkata, sebelum dia dan isteri mengambil keputusan untuk menyambung pengajian, semuanya sudah dirancang supaya kebajikan lima anak mereka berusia antara setahun hingga 14 hingga tidak diabaikan.

“Setiap Jumaat, saya dan isteri bersama lima anak akan bertolak ke Kuala Lumpur dan tidur di rumah sementara kami di Puchong.

“Pada Sabtu, kami berdua akan menghadiri kelas antara jam 8 pagi hingga 6 petang manakala anak-anak pula akan ditinggalkan di rumah jiran dan pada Ahad pula kami akan pulang ke Pahang,” katanya.

Disiarkan pada: November 3, 2014 @ 6:01am
d