mutakhir

Bergaduh pun panggil bomba

Melaka: Tiga beranak termasuk dua kanak-kanak perempuan terperangkap dalam bilik tidur di rumah mereka kira-kira 30 minit sebelum diselamatkan anggota bomba dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Krubong di sini, kelmarin.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, kejadian jam 12.20 tengah hari itu berlaku akibat salah faham antara dia dan suami berusia 30-an mengakibatkan dia bersama dua anaknya berusia empat dan dua tahun terperangkap dalam bilik berkenaan.

“Pagi sebelum kejadian, saya menegur suami memintanya mencari pekerjaan selepas hilang kerja sebelum saya masuk dan menutup pintu bilik untuk menidurkan anak.

“Namun, suami yang berang menendang pintu dari luar dengan kuat beberapa kali, bimbang dimarahi, saya hanya mendiamkan diri dan mendengar suaranya merungut di luar,” katanya ditemui di rumahnya, kelmarin.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, keadaan di luar sunyi dan dia yang menyedari suami tiada di luar cuba membuka pintu untuk keluar, tetapi gagal.

“Saya menjerit memanggil nama suami berulang kali sambil merayu memintanya membuka pintu, tetapi tiada jawapan sebelum teringat mempunyai telefon bimbit lalu menghubungi bomba meminta bantuan,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Wan Azlan Wan Abd Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 12.44 tengah hari daripada mangsa yang mendakwa terperangkap dalam bilik di rumahnya bersama dua anak.

Menurutnya, lima anggota diketuai Penguasa Bomba Kanan II Mohd Ashraf Abdullah bersama satu jentera pergi ke lokasi.

“Sebaik tiba, suami mangsa tiada dipercayai mengurung diri dalam sebuah lagi bilik manakala mangsa bersama dua anak berusia dua dan empat tahun terkurung dalam bilik utama.

“Kita menggunakan peralatan khas untuk mengumpil pintu tanpa tombol di bilik itu yang dipercayai rosak sebelum berjaya mengeluarkan tiga beranak berkenaan,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Disiarkan pada: November 3, 2014 @ 7:52am
d