mutakhir

Perancang utama kes rompakan di laut dikesan

Johor Bahru: Seorang lelaki dipercayai perancang utama sindiket rompakan di laut sedang dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor bagi membantu siasatan cubaan rompak oleh sekumpulan lelaki disyaki lanun di perairan Pantai Teluk Ramunia, Kota Tinggi pada Jumaat lalu.

Usaha sedang dilakukan bagi mengenal pasti identiti lelaki yang dipercayai penyalur maklumat dan mengatur semua tindakan kumpulan lanun yang berjaya ditahan itu.

Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit ada berhubung dengan kumpulan lelaki terbabit menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Menurutnya, seorang daripada lelaki yang ditahan itu juga mengaku menerima arahan dan maklumat daripada individu terbabit.

“Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut dan maklumat awal mendapati lelaki berkenaan memberi arahan dari luar negara.

“Kami sedang mengenal pasti identiti individu berkenaan dan sejauh mana pembabitannya dalam kegiatan itu tetapi percaya dia adalah dalang kepada kumpulan terbabit,” katanya ketika sidang media di Markas PPM Wilayah Dua Johor di Tampoi, di sini, semalam.

Jumaat lalu, sebuah bot ronda yang sedang melakukan Ops Pensura, menahan dan memeriksa sebuah kapal tangki dan bot fiber yang bergerak bergandingan dalam keadaan mencurigakan di 2.5 batu nautika dari Pantai Teluk Ramunia kira-kira jam 7.30 malam.

Pemeriksaan terhadap bot fiber berkenaan mendapati terdapat lima lelaki berasal dari negara jiran ditahan bersama senjata tajam.

Disiarkan pada: November 3, 2014 @ 8:16am
d