mutakhir

Lelong kenderaan tak dituntut

Melaka: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 114 notis sepanjang dua hari perlaksanaan Ops Khas Nombor Pendaftaran, Hid, Lampu Strobe dan Advokasi Cermin Gelap yang diadakan di Plaza Tol Ayer Keroh dan sekitar Melaka pada 1 dan 2 November lalu.

Pengarahnya, Azaharuldin Abdullah berkata, menerusi operasi itu, 1,345 kenderaan diperiksa sepanjang tempoh dua hari operasi dijalankan.

“Daripada jumlah itu, 91 daripadanya adalah notis saman membabitkan kesalahan nombor pendaftaran (13), hid (4), lampu strobe (4) dan lain-lain kesalahan (70). Kami turut mengeluarkan 21 notis larangan arahan penggunaan kenderaan bagi kesalahan sama iaitu nombor pendaftaran (13), hid (4) dan lampu strobe (4).

“Selain itu, kami turut melakukan advokasi cermin gelap kepada 234 pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan itu,” katanya selepas Program Hari Lelong Kenderaan Sita Bil 1/2014 peringkat JPJ negeri di Bukit Katil, di sini, semalam.

Program Hari Lelongan Kenderaan Sita itu yang pertama kali diadakan tahun ini membabitkan 75 pembida dari seluruh negara dan 34 kenderaan iaitu motosikal (27), kereta (5) dan van (2).

Hasil lelongan, JPJ Melaka berjaya mengutip RM22,745.

Azaharuldin berkata, program itu diadakan bagi mengurangkan kesesakan di pusat pengumpulan kenderaan sita di JPJ Melaka, selain membantu menambah hasil kerajaan.

“Antara faktor utama kenderaan sita tidak dituntut kerana ia sudah dijual kepada orang lain dan disambung bayar, selain pemilik berdaftar tidak dapat dikesan kerana maklumat kenderaan dalam sistem JPJ tidak dikemaskini pemilik.

“Kita memberi notis tiga bulan kepada pemilik kenderaan untuk mengambil kenderaan mereka sebelum notis kedua,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2014 @ 5:06am
d