mutakhir

Pusat judi 'bungkus' awal

Pelabuhan Klang: Amaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu memerangi aktiviti perjudian membuahkan hasil apabila sembilan premis yang sebelum ini menjadi tempat perjudian Internet di Bandar Parklands, di sini, ditinggalkan kosong oleh pengusahanya, semalam.

Serbuan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) diketuai Ketua Unit Risikan dan Operasinya (RO) Asisten Superintendan Mohd Suhaime Azamat mendapati sembilan premis berkenaan kosong tanpa sebarang komputer.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan Superintendan Goh Lee Fook berkata, pengusaha pusat perjudian kini sudah berasa gerun untuk beroperasi berikutan operasi berterusan polis sejak seminggu lalu.

Katanya, pihaknya akan terus menjalankan operasi bagi memastikan daerah berkenaan bersih dari kegiatan perjudian haram.

“Bagi memastikan pusat judi terus ‘mati’, kita akan buat pemantauan 24 jam di sekitar kawasan ‘panas’.

“Memang agak sukar mengawal kegiatan ini memandangkan pengusahanya sentiasa bertukar tangan. Sebelum ini, kita putuskan bekalan elektrik dan air, namun mereka akan beroperasi semula, tetapi kali ini, kita akan pastikan mereka terus berkubur,” katanya di sini, semalam.

Disiarkan pada: November 4, 2014 @ 5:07am
d