mutakhir

'Sarjan Din' penipu

Oleh Fardy Bungga

Petaling Jaya: Ahli sindiket hanya perlu menyamar sebagai Inspektor Faizal ataupun Sarjan Din. Namun itu sudah cukup untuk memperdaya lapan mangsa membayar wang ‘tebus anak’ berjumlah hampir RM200,000.

Suspek warga tempatan dikesan menyamar sebagai anggota polis untuk meminta wang suapan kononnya bagi membebaskan anak mangsa yang ditahan atas jenayah dadah.

Lebih membuat mangsa yakin apabila suspek menggunakan nombor telefon milik anak mereka ketika membuat panggilan selain turut mengetahui latar belakang ahli keluarga mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, modus operandi digunakan sindiket itu didapati tidak ubah seperti penipuan kad kredit dengan memalsukan nombor telefon Bank Negara atau Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Dalam kes ini penjenayah akan menghubungi mangsa yang rata-ratanya berusia 56 hingga 71. Suspek mendakwa anak mangsa ditahan atas kesalahan dadah dan boleh dijatuhkan hukuman gantung.

“Mangsa kemudian diminta menyediakan sejumlah wang dalam tempoh singkat sebelum diarah menghantarnya di lokasi ditetapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Lebih meyakinkan apabila mangsa juga dibenarkan bercakap dengan anak atau suami yang dipercayai dilakonkan suspek dalam tempoh singkat.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 4, 2014 @ 5:07am
d