mutakhir

Sagu hati sendiri RM1 juta

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur : “Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FELCRA pada tahun 2010, 2011 dan 2012 menilai sendiri prestasi mereka ‘cemerlang’ sebelum membuat pembayaran sagu hati untuk diri sendiri hampir RM1 juta tanpa kelulusan Kementerian Kewangan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ketika mendedahkan perkara itu beliau menegaskan, FELCRA kemudian memohon daripada kementerian terbabit untuk mengesahkan keputusan berkenaan, namun tidak diluluskan.

Beliau berkata, sedangkan agensi berkenaan seperti yang dikenal pasti oleh Laporan Ketua Audit Negara 2013 tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2012 dan 2013 disebabkan penurunan aktiviti perladangan dan perkilangan.

“Pada tahun 2010 sebanyak RM30,000 manakala ahli lembaga lain menerima RM20,000, pada 2011 pula ahli lembaga memperoleh RM30,000 manakala pengerusi dapat RM50,000 dan sebanyak RM332,500 dibayar pada tahun 2012.

“Kementerian Kewangan sudah mengarahkan pembayaran itu dihentikan serta-merta. Sekiranya wang itu sudah dibayar maka mereka perlu membayar balik wang sagu hati itu. PAC masih belum berpuas hati dengan penjelasan FELCRA dan akan meneruskan siasatan,” katanya di Parlimen, semalam.

Terdahulu, prosiding PAC dihadiri Pengerusi FELCRA Datuk Bung Mokhtar Radin dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ramlee Abu Bakar.

Agensi itu mempunyai 9,696 peserta dan pemegang saham ialah Menteri Kewangan Diperbadankan.

Nur Jazlan berkata, sebanyak RM15.21 juta dividen daripada jumlah keseluruhan dividen berjumlah RM82.89 juta bagi tahun 2011-2013 masih belum dibayar.

“Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak RM67.68 juta sudah diagihkan dan bakinya dalam usaha untuk dibayar sehingga selesai,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2014 @ 5:08am
d