mutakhir

92 kura-kura diselamatkan

Jeli: Sebanyak 92 kura-kura spesies dilindungi dianggarkan bernilai RM10,000 diselamatkan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan sebelum diseludup ke negara jiran untuk dijadikan hidangan eksotik.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, semua kura-kura spesies kura besar, kura katup dan kura tokong ditemui selepas anggota PERHILITAN dari Kuala Lumpur dan Kelantan memintas lori di Lebuhraya Timur-Barat berdekatan Kampung Kolam Air Panas di sini.

Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohammad Khairi Ahmad berkata, kura-kura itu ditemui di bahagian belakang lori berkenaan yang diisi dalam 16 guni putih.

“Dalam serbuan itu, kami turut menahan pemandu dan kelindan lori berusia 20-an.

“Siasatan awal mendapati semua haiwan liar itu diperoleh dari negeri ini dan Terengganu. Mereka dipercayai membawanya ke Gurun, Kedah untuk dikumpulkan di sebuah stor sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Pejabat PERHILITAN Jeli, semalam.

Menurutnya, setiap kura-kura dianggarkan seberat 10 hingga 15 kilogram dengan harga pasaran gelap boleh mencecah RM15 hingga RM25 sekilogram akan dijadikan hidangan eksotik di Thailand, Vietnam dan China.

“Semua haiwan itu spesies tempatan dan boleh diperoleh di kawasan tanah lembap, berpaya dan tanah pamah.

“Kemungkinan ada sindiket penyeludupan haiwan itu menjelajah dari satu tempat ke tempat lain bagi memperoleh bekalan sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya.

Disiarkan pada: November 4, 2014 @ 5:11am
d