mutakhir

APMM temui bot nelayan hilang

Alor Gajah: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkalan di Kuala Linggi menemui satu daripada empat bot gentian kaca milik nelayan tempatan yang dilaporkan hilang kira-kira lima batu nautika dari Pulau Undan, Merlimau, Jasin, malam kelmarin.

Bot gentian kaca dipercayai milik nelayan, Tan Tik An, 50-an, itu ditemui anggota APMM jam 10 malam ketika melakukan operasi rondaan sebelum ternampak sebuah bot di laut tanpa enjin.

Bot berkenaan dilaporkan hilang pada jam 6.20 pagi, Sabtu lalu, di Jeti Nelayan Tradisional Klebang Besar, Klebang bersama tiga dari tujuh bot yang ditambat nelayan.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah Maritim 5 (DM5) Kuala Linggi, Kapten Abu Bakar Idris berkata, pihaknya menerima maklumat kehilangan empat bot gentian kaca milik sekumpulan nelayan selepas terbaca laporan Metro Ahad (MA), Ahad lalu.

Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota peronda APMM menjalankan operasi khas di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi menjejak empat bot nelayan berkenaan biarpun tidak dimaklumkan oleh pihak berkaitan.

“APMM mengambil inisiatif sendiri untuk melaksanakan operasi secara senyap selepas terbaca laporan MA yang melaporkan kehilangan bot terbabit dan menemui sebuah bot yang dipercayai hilang itu.

“Bot berkenaan ditemui terapung di lautan tanpa peralatan pada jarak lima batu nautika dari perairan Pulau Undan di Selat Melaka dan difahamkan ia berada pada jarak 2.5 batu nautika,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2014 @ 5:07am
d