mutakhir

Rai 59 pasangan bertemu jodoh di PKNS

Shah Alam: “Kali pertama saya bertemu dengan isteri saya apabila PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) menganjurkan kursus mengenai Piawaian ISO pejabat dan akhirnya pengenalan kami berakhir di jenjang pelamin,” kata kakitangan PKNS Mohd Rita Nashriq Mohd Rita Murni, 31.

Mohd Rita berkata, beliau dan pasangannya Nurzulaikha Mahazir, 23, terkejut apabila PKNS memberi pengiktirafan itu kepada mereka yang baru saja mendirikan rumah tangga pada Jun lalu.

“Saya bertugas di Bahagian Sumber Manusia manakala isteri di Bahagian Kewangan amat gembira kerana ini adalah pertama kali PKNS mengiktiraf pasangan suami isteri yang bertemu jodoh di sini,” katanya.

PKNS buat julung kalinya mengadakan pengiktirafan “Di Sini Kasih Terbina” bagi meraikan 59 pasangan suami isteri yang bertemu jodoh di organisasi itu pada Karnival Hari Keluarga perbadanan itu, di sini, baru-baru ini.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, pihaknya amat berbesar hati mengiktiraf semua pasangan yang bertemu jodoh di agensi berkenaan yang sehingga kini masih lagi berkhidmat di PKNS.

“Semua pasangan ini bertemu jodoh di PKNS dan mereka adalah 10 peratus dari jumlah warga kerja PKNS yang terdiri daripada 1,008 orang,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, setiap pasangan diberikan sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan PKNS kepada mereka, malah ada di antara mereka telah berkhidmat di PKNS lebih 30 tahun.

Jelasnya, PKNS sentiasa prihatin dalam perkembangan aspek kekeluargaan termasuk kebajikan keluarga warga kerjanya selain pengiktirafan itu juga adalah bersempena dengan sambutan Jubli Emas PKNS pada tahun ini.

Penganjuran Karnival Hari Keluarga PKNS 2014, di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya adalah sebagai tanda pengiktirafan kepada kakitangan PKNS yang telah membantu pertumbuhan perbadanan itu sejak ditubuhkan pada 1 Ogos 1964.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebanyak 30,000 pemilik unit kediaman yang dibangunkan oleh PKNS di seluruh negeri Selangor masih belum membuat pindah milik rumah dan tidak mendapat status hak milik strata.

Disiarkan pada: November 5, 2014 @ 5:08am
d