mutakhir

Pakatan bida tender

Oleh Alias Abd Rani

Kuching : Kelicikan syarikat pembida yang menjalankan pakatan sulit ketika melakukan proses pembidaan menyebabkan kos tender projek awam meningkat antara 12 hingga 15 peratus.

Begitupun, perkara itu sukar ditangani kerana ia sukar dikesan berikutan tiada maklumat kukuh dan sahih, sekali pun banyak aduan dilakukan berhubung tindakan dilakukan beberapa syarikat pembida.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya mendapati ada syarikat meletakkan harga tender tinggi, manakala syarikat lain meletakkan harga lebih rendah sedangkan kedua-dua syarikat berkenaan mempunyai rangkaian antara satu sama lain.

Beliau berkata, jika syarikat terbabit gagal mendapatkan tender, pemiliknya tidak perlu bimbang kerana syarikat lain dikatakan bersaing membida projek itu sudah bersetuju memberikan sebahagian projek untuk dilaksanakan bersama.

“Ini adalah kesalahan besar, namun sukar untuk dibuktikan, mereka memanipulasi harga sesuka hati.

“Situasi ini memberi ancaman besar kepada institusi awam kerana membabitkan hasil cukai rakyat,” katanya selepas merasmikan Buku Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam dan Bantu Kami Kenal Pasti Tipuan Bida, di sini, semalam.

Hasan berkata, penipuan pembidaan membabitkan projek memerlukan pelaburan dana dan teknologi tinggi juga berlaku di Amerika Syarikat dan Jepun dengan harga tender meningkat sehingga 30 peratus lebih tinggi.

Menurutnya, usaha KPNDKK menghukum pakatan syarikat ini tidak akan berjaya sekiranya orang awam yang mempunyai maklumat enggan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk siasatan.

“Tipuan bida tidak hanya membabitkan pakatan sulit, malah ada kemungkinan unsur rasuah boleh berlaku, jadi pegawai bertanggungjawab dalam projek perolehan awam wajib menstruktur semula proses tender sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Disiarkan pada: November 5, 2014 @ 5:10am
d