mutakhir

Pengasas koperasi ditangkap

Oleh Muhammad Saufi Hassan dan Mohd Rizal Abdullah

Kuala Lumpur: Lapan ditahan termasuk seorang wanita berusia awal 40-an yang juga pengasas koperasi kerana terbabit dalam ajaran sesat daripada negara jiran dikenali Millah Abraham.

Wanita itu ditahan bersama anak gadisnya berusia 23 tahun dan mereka berselindung di sebalik premis perniagaan untuk menyebarkan fahaman songsang, sekali gus merekrut ahli baru menyertai kumpulan itu.

Bagaimanapun, tindakan wanita itu yang cuba mengelirukan jabatan agama akhirnya terbongkar selepas sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyerbu premis itu yang terletak di Wangsa Maju, malam semalam.

Operasi yang dilakukan kira-kira jam 9 malam itu berjaya menahan lapan individu berusia antara 20 dan 40-an kerana didapati cuba menyebarkan fahaman palsu bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengarah JAWI, Paimuzi Yahya berkata, lapan individu yang ditahan terdiri daripada enam lelaki serta dua wanita dan mereka dipercayai menggunakan premis itu untuk mengembangkan doktrin palsu terbabit.

“Dua daripada mereka didapati cuba mengembangkan doktrin palsu itu, manakala enam lagi bersubahat dalam doktrin berkenaan.

“Kita masih menyita beberapa barangan sama iaitu al-Quran, Al-Kitab dan beberapa peralatan lain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 5, 2014 @ 5:16am
d