mutakhir

Pertubuhan haram 'jual' pingat, darjah kebesaran

Alor Setar: Sebuah pertubuhan haram dikesan menyamar sebagai kerabat diraja Kedah kononnya menawarkan pingat dan darjah kebesaran Datuk atau Datuk Seri dengan meminta bayaran tertentu untuk mendapatkan gelaran berkenaan.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya mengesan pertubuhan berkenaan iaitu Majlis Pewaris Yang Dipertua Kedah yang menyamar sebagai kerabat diraja Kedah dengan memperdayakan orang ramai.

Menurutnya, kerajaan negeri kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu kerana mencemarkan nama baik kerabat diraja Kedah.

“Ada pertubuhan haram diberi nama Majlis Pewaris Yang Dipertua Kedah kononnya menawarkan pingat dan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk atau Datuk Seri.

“Mereka ada meminta bayaran tertentu yang terpaksa dibayar oleh mereka yang mudah terpedaya. Saya harap rakyat tidak terpengaruh dengan kegiatan pihak tidak bertanggungjawab ini.

“Saya juga amat kecewa dengan kegiatan mereka kerana mencemarkan nama baik kerabat diraja Kedah.

“Saya difahamkan laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pertubuhan berkenaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Mukhriz berkata, anugerah dan pingat kebesaran yang membawa gelaran Datuk atau Datuk Seri bukan sesuatu yang boleh dijual beli sebaliknya memerlukan penilaian khas terhadap sumbangan dilakukan individu terbabit bagi membolehkannya dianugerahkan gelaran berkenaan.

“Pingat kebesaran hanya diberikan kepada individu atas sumbangan, jasa dan bakti mereka kepada negeri dan negara. Itu pun atas perkenan Ke Bawah Duli Sultan. Jangan sewenang-wenangnya percaya jika ada pihak mengaku kerabat diraja menawarkan pingat untuk ‘dibeli’.

“Penerima pingat terlebih dulu dinilai Jawatankuasa Pemilihan Penerima Anugerah di bawah kerajaan negeri, kemudian barulah disenarai pendek sebelum dipersembahkan kepada Sultan untuk diperkenankan,” katanya.

Disiarkan pada: November 6, 2014 @ 5:09am
d