mutakhir

Akuan nikah tak wujud

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Sijil nikah yang dikemukakan penyanyi rock dan pelakon Awie dalam permohonannya untuk mendapatkan perintah hak jagaan sementara secara sebelah pihak terhadap tiga anak mereka pada Julai lalu, dipertikaikan isterinya, Rozana Misbun, semalam.

Peguam syarie yang mewakili Rozana, Majdah Muda berkata hasil semakan yang dibuat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEINPP) mendapati surat perakuan nikah itu tidak wujud dalam daftar perkahwinan Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Pulau Pinang.

Majdah berkata demikian dalam prosiding perbicaraan kes permohonan mengetepikan perintah hak jagaan anak secara sebelah pihak yang difailkan Rozana terhadap Awie di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.

Katanya, Rozana sebelum ini tidak mengetahui kewujudan sijil nikah yang dikemukakan Awie bagi mendapatkan perintah hak jagaan sementara anak mereka, lalu membuat semakan secara lisan di JHEINPP.

“Anak guam saya kemudian menerima surat kiriman bertarikh 4 Julai lalu yang menyatakan surat perakuan nikah itu tidak wujud dalam daftar perkahwinan,” katanya.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain kemudian memerintahkan Rozana yang juga plaintif untuk mengemukakan bukti iaitu afidavit akuan bersumpah oleh pegawai yang mengeluarkan surat itu untuk diserahkan kepada mahkamah dan Awie (responden) bagi mahkamah menilai status dokumen berkenaan sebelum membuat keputusan berhubung kes itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: November 6, 2014 @ 5:14am
d