mutakhir

Gugur ruangan rekod jenayah lampau

Kajang: Majikan di seluruh negara disaran menggugurkan ruangan rekod jenayah lampau pada borang permohonan pekerjaan bagi memberi peluang kepada bekas banduan untuk mendapat pekerjaan dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, agensi kerajaan sewajarnya menjadi perintis dalam pelaksanaan perkara itu sebelum ia dicontohi swasta.

“Ruangan yang memerlukan mereka mengisytiharkan rekod jenayah lampau dalam borang permohonan kerja ini telah menyebabkan ramai bekas banduan sukar mendapat pekerjaan baik.

“Sehubungan itu, saya minta semua kementerian termasuk sektor swasta supaya tidak memasukkan lagi soalan yang bertanyakan tentang pembabitan jenayah dalam borang permohonan kerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena sambutan Hari Penjara Ke-224 di Maktab Penjara Malaysia di sini semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar dan Timbalannya Datuk Hassan Sakimon.

Mengulas lanjut Wan Junaidi berkata, statistik pada 2008 menunjukkan hanya 0.48 peratus daripada 8,000 banduan dibebaskan masuk semula ke penjara.

“Statistik ini menguatkan lagi keyakinan saya kebanyakan bekas banduan telah pulih dan masyarakat sepatutnya membuka ruang dan peluang untuk membantu mereka memperbetulkan kesilapan lalu.

“Amatlah tidak wajar bekas banduan yang berkelayakan ini dinafikan hak mereka untuk selama-lamanya hanya kerana kesilapan lampau sedangkan di luar sana mungkin ada yang masih bebas walaupun melakukan kesalahan,” katanya.

Sementara itu Zulkifli berkata, 28 banduan di seluruh negara mengikuti pengajian dalam jurusan pengurusan perniagaan bagi sesi 2014/2015 dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) iaitu dua di peringkat ijazah sarjana, ijazah sarjana muda (12) dan 14 lagi mengikuti pengajian diploma.

Jelasnya, tiga banduan menerima diploma dan ijazah sarjana muda pada Majlis Konvokesyen Ke-16 OUM di ibu negara pada 23 Ogos lalu.

Disiarkan pada: November 7, 2014 @ 5:08am
d