mutakhir

Kaji pasang CCTV

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan mengkaji pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah berasrama penuh yang bernaung di bawah kementerian itu membabitkan kawasan terpilih.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pemasangan CCTV itu masih dalam peringkat perbincangan berikutan beberapa kejadian buli yang berlaku di negara ini termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Beliau diminta mengulas mengenai penyebaran dua video kejadian buli yang berlaku di Asrama Anak Yatim Kompleks Penyayang Jejawi, Perlis, dan di sebuah sekolah di Pontian, Johor memaparkan aksi sekumpulan pelajar mencederakan mangsa dengan dipukul beramai-ramai.

Malah, dalam kejadian terbaru, seorang pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang, cedera parah dibelasah sembilan pelajar senior pada 22 Oktober lalu.

“Saya kesal dengan kejadian buli yang berlaku akhir-akhir ini, kejadian buli ini adalah perkara yang tidak sepatutnya terjadi di sesebuah sekolah.

“Disebabkan itu, sebaik menerima laporan mengenai kejadian buli di Pulau Pinang baru-baru ini, saya terus maklumkan kepada Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya segera mengambil tindakan dengan menggantung pelajar berkaitan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Graduasi Kelas Dewasa Asli (KEDAP) Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurutnya, langkah penggantungan pelajar berkenaan sebagai satu peringatan kepada pelajar lain supaya tidak terbabit dalam insiden sama.

“Saya ingin berpesan kepada semua pelajar di bawah KKLW supaya tidak terbabit dalam kes buli atau mereka akan berdepan hukuman buang persekolahan.

“Sebagai langkah untuk mengelak perkara itu, kita akan mengkaji keberkesanan pemasangan CCTV di kediaman asrama, tempat makan dan tempat tertentu tetapi tidak di tandas,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bersimpati dengan nasib mangsa buli berkenaan kerana tekanan dan psikologi yang dibawa boleh memberi kesan seumur hidup.

Disiarkan pada: November 7, 2014 @ 5:08am
d