mutakhir

Dalami ilmu agama

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur : Sebuah pusat penempatan dan pembelajaran bernilai RM19.8 juta untuk manfaat saudara baru sekitar ibu negara di Jalan Sentul di sini, dijangka beroperasi awal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur Datuk Zainal Abidin Jaffar berkata, pusat dinamakan Darul Hidayah yang mula dibina pada 2012 kini sudah memasuki 65 peratus proses pembinaan.

“Apabila siap menjelang Februari tahun depan, ia boleh menempatkan 320 mualaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“Sekarang kebanyakan mualaf apabila masuk Islam kita buat susulan melalui JAWI, apabila siap pusat ini semua mualaf dipilih menerusi rujukan JAWI, Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan ditempatkan terus di situ.

“Kita ajar mereka Fardu Ain, Fardu Kifayah, kurikulum khusus selain program tambahan, latihan untuk jadi imam, bilal serta fasih al-Quran enam bulan bagi persiapan sebelum keluar ke pangkuan masyarakat,” katanya selepas mengadakan lawatan Sekolah Menengah Agama MAIWP di Bandar Seri Permaisuri di sini, semalam.

Beliau berkata, pusat berkenaan adalah kompleks pertama yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk tempat pembelajaran dan penginapan untuk mualaf.

“Sebelum ini kita beroperasi sementara di Kampung Baru. Kita harap selepas siap nanti pusat ini dapat membantu saudara baru dan mualaf yang sudah lama memeluk Islam dari segi kemantapan akidah dan keperluan asas lain secara percuma,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2014 @ 5:08am
d