mutakhir

Fahami dulu baru kritik

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Umat Islam diingatkan agar tidak tergesa-gesa mengkritik fatwa dikeluarkan tanpa memahami sepenuhnya kandungan fatwa itu.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, umat Islam perlu yakin dengan ikhlas, bersatu dan berpadu fikiran untuk memahami ajaran Islam dan perlu mengatasi ideologi dan kepentingan politik.

Titah baginda, fatwa bukan dibuat atau ditentukan oleh Mufti tetapi ia perlu melalui Jawatankuasa Fatwa terdiri daripada alim ulama serta profesional dan mahir dalam bidang masing-masing.

“Mereka akan berbincang dan menentukan sesuatu hukum dalam al-Quran, hadis dan kitab berkaitan. Sesuatu fatwa yang dibuat di Selangor hanya menjadi sah setelah mendapat persetujuan dan perkenan beta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Titah baginda, sebagai agama yang bersifat lengkap dan menyeluruh, Islam mempunyai sifat kesederhanaan dalam semua aspek sama ada akidah, syariah mahu pun akhlak bagi melayani tuntutan roh dan jasad umatnya.

“Sikap kesederhanaan ini menjadi ciri utama yang membezakan Islam dengan agama lain. Konsep kesederhanaan dianjurkan Islam bersifat menyeluruh termasuk dalam aspek kehidupan seharian.

“Sikap bersederhana dan teliti dalam membuat perancangan penting dalam konteks kehidupan bermasyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” titah baginda.

Disiarkan pada: November 7, 2014 @ 5:09am
d