mutakhir

Khidmat karaoke ke ranjang diserbu

Klang: Permintaan yang tidak putus terhadap ‘ayam’ Vietnam menyebabkan pengusaha pusat hiburan di sini tetap menawarkan khidmat itu walaupun sedar bakal berdepan tindakan undang-undang.

Terbaru, sebuah premis yang menawarkan hiburan karaoke di Taman Desawan, di sini, bagi mengaburi mata pihak berkuasa akhirnya digempur sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.30 malam itu, lapan wanita warga Vietnam berusia 21 dan 43 tahun ditahan polis kerana dikesan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) sejak beberapa bulan lalu.

Wanita terbabit dipercayai turut menawarkan khidmat ‘ranjang’ kepada pelanggan dengan bayaran tertentu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menjalankan intipan sejak seminggu lalu sebelum menyerbu premis berkenaan.

“Lapan wanita warga Vietnam serta seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis berkenaan yang berusia antara 21 dan 43 tahun ditahan.

“Siasatan mendapati pelanggan lelaki dibenarkan memilih GRO yang diingini sebelum membawa ke tempat lain untuk tujuan maksiat,” katanya.

Disiarkan pada: November 7, 2014 @ 5:21am
d