mutakhir

Ubah suai makan diri

Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Keghairahan segelintir pemilik kenderaan mengubah suai kereta mereka sesuka hati tanpa mengikut piawaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memakan diri selepas ditahan dalam Ops Penguatkuasaan Khas di Jalan Langgar, di sini, malam kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 8 malam hingga 10.30 malam itu, JPJ Kedah memeriksa 1,090 kenderaan, manakala 184 kenderaan diambil tindakan membabitkan pelbagai kesalahan.

Antara pengubahsuaian yang dilakukan termasuk penggunaan lampu depan Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) putih, merah dan hijau selain pengubahsuaian nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, cermin gelap dan penggunaan lampu ‘strobe light’.

Operasi bersepadu di seluruh negeri itu turut mendapat kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kedah Shahrul Azhar Mat Dali berkata, hasil pemeriksaan dijalankan kesalahan paling tinggi direkodkan membabitkan kegagalan mempamerkan plat nombor kenderaan mengikut spesifikasi ditetapkan JPJ.

“Selain itu tiga kesalahan lain berjaya dikesan seperti penggunaan cermin gelap (135), penggunaan lampu ‘strobe light (33) dan penggunaan lampu HID (5),” katanya ketika ditemui di lokasi operasi, di sini.

Hadir sama Ketua Seksyen Penguat kuasa JPJ Kedah Megat Shariffuddin Megat Ahmad Zakir dan Pengarah JKJR Kedah Nik Ahmad Syazwan Nik Azman.

Shahrul berkata, pihaknya mendapati tahap kesedaran pemilik kenderaan terhadap penyalahgunaan cermin gelap masih pada tahap sederhana dan operasi besar-besaran itu bertujuan menyedarkan pengguna jalan raya berhubung kesalahan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang masih keliru dengan syarat pemasangan dan penggunaannya diminta mendapatkan khidmat nasihat daripada JPJ sebelum undang-undang baru mengenainya dikuatkuasa semula bermula 1 Mei tahun depan.

“Berdasarkan peluang dan ruang baru yang pihak JPJ berikan ini, kita mengalu-alukan pemilik kenderaan datang secara sukarela untuk membuat pemeriksaan kenderaan masing-masing di beberapa lokasi ditetapkan seperti Cawangan JPJ Alor Setar, Kulim, Langkawi dan Stesen Kawalan Sempadan Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Disiarkan pada: November 8, 2014 @ 5:10am
d