mutakhir

Pasangan gagal seludup 60 kilogram daun ketum

Gerik: Sepasang suami isteri warga Thailand ditahan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Perak ketika cuba menyeludup 60 kilogram daun ketum ke negaranya dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 10, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Lebey, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, pasangan berusia 20-an terbabit yang menaiki kereta jenis Honda City dikesan menyembunyikan daun ketum di beberapa bahagian antaranya enjin, bamper dan kusyen tempat duduk belakang kenderaan berkenaan.

Pasangan berkenaan turut cuba merasuah anggota UPP bagi membolehkan mereka melepasi sekatan berkenaan dan seterusnya menyeludup daun ketum terbabit.

Komander UPP Perak Deputi Superintendan Kasturi Othman berkata, pelbagai alasan diberikan pasangan terbabit supaya mereka dilepaskan ia termasuk mendakwa mereka diupah rakan dari kampungnya di Narathiwat, Thailand sebanyak RM500 supaya membawa daun ketum berkenaan.

Menurutnya, pasangan berkenaan ditahan dalam satu sekatan jalan raya membabitkan Operasi Pendatang Asing Tanpa Izin (Ops PATI) yang disertai seramai 10 anggota UPP serta enam anggota dan pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

”Pemeriksaan kereta dinaiki suspek yang dalam perjalanan dari Gerik ke Kelantan itu menemui sebanyak lebih 60 kilogram daun ketum basah yang disembunyikan di beberapa bahagian enjin dan bamper manakala sebahagian lagi di dalam kusyen belakang.

Disiarkan pada: November 8, 2014 @ 5:14am
d