mutakhir

Tukang sapu penyelamat

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: “Kami sekeluarga dikejutkan oleh seorang tukang sapu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengetuk pintu rumah mengarahkan kami keluar kerana api mulai marak,” kata mangsa A Espery, 49.

Dalam kejadian jam 5.50 pagi semalam, seramai 25 individu daripada empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah di Jalan Ikan Emas, Taman Ikan Emas, di sini, musnah dijilat api.

Menurutnya, ketika kejadian dia bersama suami dan tiga anaknya tidur sebelum dikejutkan dengan api yang marak lalu mereka keluar tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi.

“Suasana ketika itu kelam kabut kerana masing-masing sibuk menyelamatkan diri. Tiada apa yang boleh kami lakukan kerana rumah ini diperbuat daripada kayu dan api cepat merebak.

“Sebelum itu, saya terdengar bunyi kuat seperti letupan, namun ingatkan ia guruh. Selepas keluar dari rumah baru kami tahu letupan itu berpunca dari tong gas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Katanya, kebakaran di kawasan berkenaan adalah yang ketiga sejak mereka mendiami rumah berkenaan 27 tahun lalu.

“Semua barangan seperti dokumen peribadi, pakaian dan peralatan elektrik termasuk peti ais, mesin basuh dan televisyen LED tidak sempat diselamatkan.

“Bagaimanapun, kami bernasib baik tiada kecederaan mahupun kematian berlaku. Malah tiga lagi jiran blok rumah kami juga sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.16 pagi dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

“Seramai 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Razak, Pudu dan Hang Tuah terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, api marak. Bagaimanapun tindakan pantas bomba dapat memadam api daripada merebak ke blok lain,” katanya.

Beliau berkata, api berjaya dikawal jam 6.38 pagi manakala luas kawasan kebakaran membabitkan 74 meter persegi.

“Punca kebakaran dan kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, semua mangsa yang kehilangan tempat tinggal akan ditempatkan sementara di Dewan Kompleks Belia dan Sukan Kuala Lumpur selain turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Disiarkan pada: November 9, 2014 @ 5:07am
d