mutakhir

Kesan pergerakan luar biasa

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meningkatkan kerja pemantauan dan pengawasan terhadap kawasan cerun berikutan musim monsun sekarang.

Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan), Datuk Mohd Najib Mohd berkata, ini bagi mengesan sebarang aktiviti pergerakan tanah tidak normal yang boleh menyebabkan tanah longsor.

“Sekiranya dikesan terdapat sebarang pergerakan tanah luar biasa di kawasan cerun, kerja membaik pulih akan diambil bagi mengukuhkan struktur tanah. Ini juga bagi mengelak kejadian tanah runtuh daripada berlaku,” katanya.

Katanya, selain pemeriksaan secara fizikal, pemantauan secara ‘real time’ juga disokong oleh Sistem Maklumat Geografi (GIS) DBKL, yang menyediakan peta digital tiga dimensi mengenai sesuatu struktur alam sekitar itu.

“GIS DBKL yang dilancarkan Jun lalu memantau dan mengenal pasti keadaan cerun sensitif serta berisiko terhadap kejadian tanah runtuh dan maklumat yang dijana akan dihantar ke bilik operasi DBKL untuk dianalisis,” kata beliau.

Kawasan Semenanjung mengalami musim peralihan monsun kepada Monsun Timur Laut pada pertengahan bulan ini.

Jabatan Meteorologi meramalkan negara akan mengalami lebih banyak hujan dalam musim ini yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.

“Keadaan hujan lebat yang berlarutan berisiko menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tanah runtuh,” kata jurucakap Jabatan Meteorologi.

Sementara itu, Pengarah Program SlopeWatch, Eriko Motoyama berkata, kumpulan itu juga giat memantau kawasan cerun bukit di sekitar Bukit Antarabangsa untuk tanda-tanda risiko tanah runtuh.

SlopeWatch adalah badan komuniti yang diwujudkan oleh penduduk di Bukit Antarabangsa untuk memantau aktiviti cerun selain menjalankan kerja penyelenggaraan asas ke atas cerun bukit yang bermasalah.

“Kami menjalankan program kesedaran berterusan di mana kami melengkapkan penduduk setempat dengan pengetahuan mengenai ‘kesihatan’ cerun di kawasan masing-masing.

“Ini termasuk ilmu asas mengenai cerun seperti mengenal pasti tanda-tanda bahawa sesuatu cerun itu dalam bahaya,” katanya.

Katanya, antara petandanya ialah rekahan di atas cerun, takungan air di kaki cerun dan pergerakan kedudukan tumbuhan dan infrastruktur di atas cerun.

Katanya, badan itu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan jaringan komuniti di kawasan perumahan lain untuk perkongsian maklumat.

“Kami bekerjasama rapat dengan Cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya.

“Sebarang maklumat mengenai perubahan keadaan cerun setempat akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2014 @ 5:07am
d