mutakhir

BAKTI tak pinggir belia

Putrajaya: Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) tidak meminggirkan golongan belia di negara ini sebaliknya bersedia berkongsi pengalaman bagi menanam semangat sukarelawan dalam diri mereka.

Perkara itu ditegaskan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika berucap merasmikan Forum Genexter 2014, di sini, semalam.

Rosmah yang juga Yang Dipertua BAKTI berkata, golongan itu tidak seharusnya dipinggirkan daripada sebarang aktiviti dan program yang dirancang oleh Bakti.

Katanya, Forum Genexter antara program khusus bagi mendengar aspirasi serta apa yang ada dalam fikiran anak muda sekarang.

“Forum ini menjadi platform interaksi secara bersemuka bagi mendengar pandangan dan persoalan daripada generasi belia,” katanya.

Forum Genexter diadakan sempena Karnival Genexter 2014 bertema ‘Memperkasa Generasi Pewaris’ dianjurkan BAKTI bermula semalam sehingga hari ini di Dataran Putra.

Katanya, sebagai generasi pewaris, golongan belia dilihat penting kerana mereka yang akan memastikan kelangsungan segala cita-cita, aspirasi serta pencapaian negara pada masa depan.

Menurut Rosmah, tiada siapa dapat menafikan pentingnya kepemimpinan negara memandang serius masalah dihadapi golongan itu.

“Ketika ini, ada seramai sembilan juta belia berusia di bawah usia 30 tahun. Justeru, BAKTI bertanggungjawab menjadi wajah kepada masyarakat melalui kerja kebajikan merentasi kaum, agama dan budaya,” katanya.

Disiarkan pada: November 9, 2014 @ 5:08am
d