mutakhir

Boleh 'kacau' kes lain

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin memutuskan Undang-undang Syariah Negeri Sembilan yang melarang lelaki berpakaian seperti seorang wanita adalah melanggar Perlembagaan, boleh memberi kesan kepada kes dan peruntukan lain di seluruh negara.

Bagaimanapun, Peguam Syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zin berkata, keputusan itu boleh dirayu di Mahkamah Persekutuan supaya aspek atau elemen yang disebut dalam peruntukan dapat diteliti sedalam-dalamnya.

Menurutnya, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang diluluskan undang-undang negeri berdasarkan kajian serta pandangan ulama serta ahli akademik turut dipraktikkan di negeri lain.

Beliau berkata, berdasarkan seksyen berkenaan peruntukan itu menegah lelaki berpakaian perempuan dengan niat atau tujuan tidak bermoral.

“Elemen dalam peruntukan ini perlu diteliti dengan mendalam dan ia bertujuan mencegah kegiatan tidak bermoral atau perbuatan mungkar.

“Jika tidak diteliti, ia boleh memberi kesan termasuk berleluasanya gejala sosial,” katanya ketika ditemui.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan membuat keputusan berkenaan selepas mendapati Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 tidak mengikut Perlembagaan kerana mendiskriminasi lelaki Islam yang mengalami ‘Gangguan Identiti Jantina’ (GID).

Sebelum itu, Mohd Hishamudin di dalam keputusannya berkata, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 tidak konsisten dengan Artikel 5(1), 8(1)(2), 9(2) dan 10(1)(1)(a) dan oleh itu ia tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan.

Disiarkan pada: November 9, 2014 @ 5:12am
d