mutakhir

10 wartawan genggam sarjana

Oleh Norul Awatif Romli

Sintok: Seramai 10 wartawan kumpulan pertama yang terpilih mengikuti program Sarjana Sains (Komunikasi Kepengurusan) membuka tirai pada hari kedua Istiadat Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-27 yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, di sini, semalam.

Sesi ketiga majlis konvokesyen menyaksikan seramai 834 graduan menerima ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda masing-masing.

Kumpulan wartawan yang menerima ijazah sarjana, antaranya Pengarang Berita (Projek Khas) Harian Metro (HM) Muhammad Izawan Baharin dan Murni Wan Omar daripada HM; Arman Ahmad (New Straits Times (NST); Latipah Ramji (Radio Televisyen Malaysia (RTM); Ainul Asniera Ahsan (Malaysia Gazette) dan Azrul Amila Amir (Asian Broadcasting Network (ABN).

Turut menerima ijazah sarjana ialah empat orang pengamal komunikasi korporat dan perhubungan awam yang berminat untuk mendalami bidang komunikasi kepengurusan pada peringkat lebih tinggi.

Muhammad Izawan berkata, pengalaman 11 tahun berkhidmat sebagai wartawan di HM memberinya kekuatan untuk mempelopori bidang berkaitan komunikasi secara lebih meluas.

“Tidak salah sekiranya kita mahu memajukan diri dalam bidang yang kita gemari atau cenderung dan bagi diri saya ini baru langkah permulaan untuk pergi lebih jauh.

“Sejak dari awal memang saya bercadang melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dan selepas ditawarkan oleh Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI) bagi mengadakan program ijazah sarjana di UUM, peluang itu terus digenggam hingga berjaya menamatkan pengajian,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Ke-27 UUM, di sini, semalam.

Katanya, corak pembelajaran ditawarkan UUM yang mengikuti jadual kerja harian seorang wartawan menyebabkan dia menerima tawaran itu, di samping mahu merealisasikan impian untuk memiliki segulung PhD pada masa akan datang.

“Peluang hanya datang sekali dan sebagai insan yang mahukan sebuah kejayaan kita harus kejar peluang itu kerana ia tidak datang sendiri,” katanya yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.87.

Wartawan Meja Mahkamah HM Murni Wan Omar berkata, kekangan masa antara keluarga dan pekerjaan menyebabkan dia menangguhkan hasrat bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sejak sekian lama.

Bagaimanapun, beliau yang mendapat CGPA 3.70 berkata, berkat sokongan daripada ahli keluarga dan pihak majikan memudahkan dia membahagikan masa antara kerjaya, kehidupan seharian dan keluarga.

“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan kegembiraan saya pada hari ini (semalam) melainkan ucapan syukur kepada Allah SWT. Saya tidak mempunyai amalan istimewa melainkan sentiasa berdoa dan fokus kepada setiap apa yang dilakukan.

“Paling penting kelas berkenaan memberikan kami ruang dan peluang untuk berkongsi idea dan pengalaman antara satu sama lain termasuk dengan pensyarah,” katanya.

Disiarkan pada: November 10, 2014 @ 5:17am
d