mutakhir

Yakin berlaku khilaf

Kuala Lumpur: Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yakin berlaku khilaf dalam keputusan yang dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terhadap tiga lelaki berpakaian wanita sebagai bercanggah dengan Perlembagaan.

Yang Dipertua (YDP) PKPU Paimuzi Yahya berkata, kesilapan itu jelas jika panel hakim mahkamah berkenaan merujuk kepada Perkara 3 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi Persekutuan.

“Peruntukan ini jelas memberi isyarat bahawa agama Islam adalah Agama Persekutuan bagi negara ini. Semua amal perbuatan yang dilakukan oleh umat Islam sama ada lelaki atau perempuan hendaklah selari dengan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Kami berpandangan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan perlu dipertahankan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS),” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Paimuzi dalam kenyataan itu berkata, kebebasan asasi yang diperuntukkan pada Bahagian II, Perlembagaan Persekutuan tidak bermaksud seseorang itu bebas secara mutlak, tetapi tertakluk kepada batasan yang sudah ditetapkan oleh hukum syarak.

Beliau berkata, perbuatan lelaki yang memakai pakaian wanita adalah jelas bercanggah dengan perintah agama Islam dan jika tidak disekat, ia mampu memberi kesan buruk kepada agama, bangsa dan negara.

“Kami turut mencadangkan kepada MAINS untuk mengambil tindakan segera dengan merayu kes ini ke mahkamah lebih tinggi bagi memelihara kesucian agama Islam.

“Pada masa sama, kami menyeru kepada semua institusi Islam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, masjid dan surau untuk terus menggandakan program dakwah mereka supaya dapat memberi penerangan kepada masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: November 11, 2014 @ 1:29am
d