mutakhir

Gagal fahami bidang kuasa sivil, syariah

Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November lalu yang memutuskan tiga lelaki Islam berpakaian wanita sebagai bercanggah dengan Perlembagaan tidak seharusnya berlaku jika hakim mahkamah berkenaan membuat semakan terhadap Perkara 121 (1A).

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Negara Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkara, perkara itu menyatakan bahawa mahkamah sivil dan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa berbeza dan setiap satunya tidak boleh campur tangan.

“Perkara ini sudah dipinda, mahkamah berkenaan (Mahkamah Rayuan) perlu membuat semakan terperinci dengan merujuk kepada Perkara 121 (1A). Keputusan yang sudah dibuat secara tidak langsung mengatakan bahawa undang-undang syariah bersalahan dari aspek Perlembagaan.

“Ia juga memberi gambaran bahawa semua enakmen undang-undang syariah di seluruh negara bersalahan dengan Perlembagaan Malaysia dan keadaan ini tidak seharusnya terjadi,” katanya, semalam.

Pada 7 November lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang memperuntukkan hukuman ke atas lelaki Islam berpakaian wanita bercanggah dengan Perlembagaan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata, enakmen tersebut melanggar Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Seksyen 66, mereka boleh dihukum penjara maksimum enam bulan penjara dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Syariah.

Pada 2 Februari 2012, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 25, Shukor Jani, 26, dan Wan Fairol Wan Ismail, 28, memfailkan kes mencabar peruntukan terbabit.

Abdul Halim berkata, biarpun berlandaskan kepada kebebasan asasi setiap rakyat, namun kebebasan ini bukan bersifat mutlak dan ia mempunyai sekatannya mengikut undang-undang sedia ada.

Beliau berpendapat bahawa keputusan mahkamah berkenaan tidak merujuk kepada pindaan Perkara 121 (1A) dan pihak berkuasa Syariah Negeri Sembilan perlu mengemukakan rayuan berhubung isu ini.

Disiarkan pada: November 11, 2014 @ 5:13am
d