mutakhir

Main-main terus maut

Teluk Intan: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut selepas mengalami pendarahan di bahagian kepala akibat dihempap televisyen di rumahnya di Taman Intan Mas, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa Sim Jyh Cherng maut ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI) akibat hentakan kuat televisyen berkenaan yang mengenai bahagian kepala serta mukanya.

Ibu mangsa K. Manonmani, 28, berkata, ketika kejadian dia yang berhubung menerusi telefon dengan saudaranya sebelum itu sudah memarahi anaknya supaya tidak menarik rak televisyen itu.

“Saya memarahinya supaya tidak menarik rak itu namun dia tetap menariknya kerana ingin menonton rancangan kartun kegemarannya dan secara tiba-tiba rak itu jatuh menyebabkan televisyen berkenaan menghempap mukanya.

“Saya terkejut dan terus menjerit meminta bantuan disebabkan tidak dapat mengangkat televisyen itu kerana terlalu berat,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HTI di sini.

Menurutnya, jiran yang mendengar jeritannya itu memberikan bantuan mengangkat televisyen berkenaan dan membawa mangsa ke HTI sebelum disahkan mati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil bedah siasat dilakukan mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan di bahagian kepala.

Katanya, berdasarkan siasatan mendapati televisyen berukuran 29 inci seberat 40 kilogram itu jatuh selepas mangsa menariknya disebabkan ingin menonton rancangan kartun kegemarannya.

“Mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu maut ketika menerima rawatan di HTI dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: November 11, 2014 @ 5:14am
d