mutakhir

9,639,992 saman belum dilunas

Kuala Lumpur: Sebanyak 9,639,992 saman tunggakan yang dikeluarkan oleh Cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari tahun 2011 hingga 2013 masih belum dijelaskan dengan anggaran tunggakan lebih RM674.80 juta.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri Ketiga 2013 mendapati 58.9 peratus saman masih belum dijelaskan oleh pengguna jalan raya membabitkan nilai dianggarkan lebih RM670 juta.

“Cawangan Trafik PDRM mengeluarkan saman 16,367,052 terhadap kenderaan bermotor yang berdaftar bagi tempoh 2011 hingga 2013. Daripada jumlah saman dikeluarkan, sebanyak 6,727,060 iaitu 41.1 peratus sudah diselesaikan membabitkan jumlah RM1.244 bilion.

“Berdasarkan anggaran saman tunggakan yang diletakkan pada nilai minimum iaitu RM70 bagi setiap saman, sejumlah RM674.8 juta mampu diperolehi daripada kutipan jika semua saman dikeluarkan dilangsaikan,” katanya dalam LKAN siri ketiga yang dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.

Analisis audit mendapati jumlah saman meningkat sebanyak 1,280,296 iaitu 25.6 peratus pada tahun 2012 dan berkurangan 19.2 peratus pada 2013.

Berdasarkan laporan itu, penyelesaian saman juga sudah meningkat 8.1 peratus pada 2012 dan berkurangan 35 peratus pada tahun berikutnya.

Pada pendapat audit, penyelesaian saman kurang memuaskan kerana jumlah saman belum diselesaikan mencatatkan peratusan tinggi iaitu 58.9 peratus.

Sementara itu, berdasarkan maklum balas Kementerian Dalam Negeri diterima pada 26 September lalu memaklumkan pihak kementerian bersetuju dengan kajian dilaksanakan pihak audit.

“Bagaimanapun, jumlah saman tertunggak 9,639,992 ketika kajian dilaksanakan adalah disebabkan beberapa faktor antaranya jumlah terkumpul saman trafik, saman dikeluarkan tidak dapat diselesaikan segera dan beberapa faktor lain.

“Terdapat juga saman dikeluarkan membabitkan kenderaan asing dari Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand. Tindakan sukar dilaksanakan pada masa kini,” katanya.

Maklum balas itu turut menyatakan statistik jumlah saman belum diselesaikan termasuk kes yang sudah dikeluarkan waran tangkap dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Menurut jawapan itu, PDRM sentiasa berusaha untuk memastikan peningkatan penyelesaian saman trafik, tindakan penambahbaikan sedang diambil, antaranya merancang untuk menaik taraf sistem Trafik COPS yang menjurus penguatkuasaan khusus kepada warga asing.

Disiarkan pada: November 11, 2014 @ 5:15am
d