mutakhir

'Kami dah dapat tanah'

Kuala Lumpur: Golongan gelandangan ibu kota dijangka dapat ditempatkan di sebuah bangunan sebagai tempat transit bermula tahun hadapan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, bangunan berhampiran Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu dimajukan oleh pemaju hartanah Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan dijangka dapat menempatkan anggaran seramai 250 orang gelandangan pada satu masa.

“Kami dah dapat tanah dan MRCB akan bangunkan secepat mungkin projek ini. Kami harap dalam suku pertama tahun depan bangunan itu boleh diguna pakai,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah tanah Pembinaan Jejantas Sambungan ke Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di Jalan Klang Lama, disini, semalam.

Tengku Adnan berkata, bangunan itu juga dilengkapi dengan kemudahan asas seperti dewan makan, asrama dan bilik rawatan kesihatan.

“Objektif utama kemudahan ini dibina untuk menangani masalah gelandangan di ibu kota. Selain daripada kemudahan asas seperti kemudahan penginapan, kami turut merangka beberapa program kendiri untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut memberitahu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga dalam rancangan untuk membeli sebuah hartanah di Chow Kit untuk dijadikan kemudahan tempat transit bagi golongan gelandangan pada bulan hadapan.

Sebelum ini, Kementerian Wilayah Persekutuan sudah menetapkan bahawa setiap aktiviti pemberian bantuan kepada gelandangan tidak lagi dibenarkan di kawasan dalam lingkungan dua kilometer dari kompleks beli-belah dan peraturan itu bertujuan untuk membersihkan ibu negara daripada pengemis dan gelandangan yang berkeliaran saban hari.

Disiarkan pada: November 12, 2014 @ 5:06am
d